28 Ogos, 2009

Komunikasi Islam

Apa itu Komunikasi

Komunikasi berasal dari perkataan Yunani ‘communicare’ yang beerti menjadikan sesuatu milik bersama. Seorang yang berkomunikasi iaitu yang menyampaikan mesej kepada pendengar cuba menjadikan milik bersama perkara-perkara seperti maklumat , pengetahuan , kemahiran , sikap dan kepercayaan. Menjadikan milik bersama seperti perkara diatas adalah penting bagi mendapatkan malumat-maklumat yang berguna seperti ilmu pengetahuan, kemahiran, tradisi yang baik serta kepercayaan yang supaya dapat kita kembangkan dan sebarkannya.

Maksud Komunikasi Menurut Quran

Istilah yang membawa makna ‘komunikasi’ dalam bahasa Arab ialah ittisal

Perkataan ini beerti ‘sampaikan’ seperti yang terdapat dalam Quran dalam bab Qasas, ayat 51, ‘Dan demi sesungguhnya kami sampaikan kata-kata kami kepada mereka supaya mereka beroleh peringatan lalu beriman’.

Lain-lain perkataan yang menerangkan aktiviti-aktiviti komunikasi yang terdapat dalam Quran ialah:

‘berkata’ dalam bab Maidah, ayat 115,

‘bacalah’ dalam bab Alaq, ayat 1,

‘sampaikan’ dalam bab Maidah, ayat 67,

‘khabarkanlah’ dalam bab Nisa, ayat 138,

‘katakanlah’ dalam bab Mukmin, ayat 66,

‘menyeru’ dalam bab Imran, ayat 104,

‘berpesan-pesan’ dalam bab Asr, ayat 3,

‘bertanya’ dalam bab Maidah, ayat 4,

‘dengarkanlah’ dalam bab Maidah, ayat 108,

Jenis-jenis komunikasi Menurut Islam

Menurut pakar-pakar islam komunikasi islam banyak pecahanya dan tiga diantaranya ialah :

Komunikasi dengan Allah ; iaitu komunikasi yang paling tinggi darjatnya. Kita berkomunikasi dengan Allah semasa solat , berdoa dan berzikir. Solat misalnya, kita lakukan lima kali sehari pada waktu- waktu yang ditetapkan. Zikir dan doa boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi lebih afdal dilakukan selepas solat dalam keadaan berwudzu’.

Komunikasi dengan sesama manusia ; iaitu dengan ibu bapa, suami isteri, anak-anak, adik-beradik, saudara mara, jiran, sahabat, rakan sekerja, majikan dan sebagainya. Komunikasi sesama manusia dilakukan melalui perbualan bersemuka, perbualan telefon, perbincangan, taklimat, dialog, ceramah,syarahan dan sebagainya.

Komunikasi dengan diri sendiri ; Lazimnya ini dilakukan pada malam hari sebelum tidur. Kita menilai amalan, usaha, tindakan, perbuatan, fikiran dan ibadah sepanjang hari mula dari bangun tidur hinggalah berada semula di katil tidur. Antara soalan-soalan yang kita tanya pada diri kita ialah ‘adakah solat kita pada hari ini sudah mencukupi? ‘adakah kita melakukan dosa lisan pada hari ini’.

Prinsip dan kaedah Komunikasi Sesama Manusia

Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul menetapkan prinsip dan kaedah untuk melakukan sesuatu amalan, antaranya amalan berkomunikasi sama ada komunikasi dengan Allah, komunikasi sesama manusia dan komunikasi dengan diri sendiri. Prinsip dan kaedah ini dinyatakan dan diterangkan dalam Quran dan Hadis Nabi. Prinsip dan Kaedah itu adalah :

Memulakan percakapan dengan ‘Assalamualaikum’ :Prinsip ini berdasarkan kata-kata Nabi Muhammad, ‘ucapkan salam sebelum bercakap.

Bercakap dengan lemah lembut : Prinsip ini bersandar kepada bab Ta Ha, ayat 43 dan 44, ‘ Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia sudah melampaui batas dalam kekufuran . Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut’. Dalam bab Imran , ayat 15, ‘… dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripadamu’.

Menggunakan perkataan yang baik : Prinsip ini bersandar kepada bab Israa’. Ayat 53, ‘Dan katakanlah , wahai Muhammad, kepada hamba-hambaku yang beriman supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik kepada orang-orang yang menentang kebenaran’. Dalam bab baqarah, ayat 83, ‘… dan katakanlah kepada sesame manusia perkataan-perkataan yang baik …’. Dalam bab Baqarah, ayat 263 ‘Menolak peminta- peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan mereka adalah lebih baik daripada pemberian yang diiringi dengan perbuatan ataupun perkataan yang menyakiti hati…..’. Dalam bab Israa, ayat 23 ‘ … dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya , ataupun kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia dan bersopan santun’.

Menyebut perkara yang baik-baik tentang diri rakan : Prinsip ini bersandar kepada kata-kata Muhammad, ‘… hendaklah engkau selalu menyebut baik terhadap saudara engkau yang tidak bersama dalam majlis dengan kata-kata yang engkau sendiri suka orang lain berkata terhadap diri engkau apabila kamu tidak hadir…’.

Menggunakan hikmah dan nasihat yang baik : Prinsip ini bersandar kepada bab An-Nalh, ayat 125, ‘ Serulah ke jalan Tuhanmu, Wahai Muhammad, dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik…’.

Bercakap benar : Prinsip ini bersandar kepada bab An-An’aam, ayat 152, ‘… dan apabila kamu mengatakan sesuatu , semasa membuat apa-apa keterangan , hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat dengan kamu ‘. Prinsip ini juga bersandarkan kata-kata Muhammad, ‘Sesungguhnya, Tuhan tidak sukakan orang ini dan mereka dan seumpamanya. Mereka memutar kata-kata sama seperti lembu yang memutarkan rumput yang dimamahnya’.

Menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tingkat kecerdasan pendengar: Prinsip ini bersandar kepada kata-kata Muhammad, ‘Berbicara kepada manusia menurut kecerdasan mereka masing-masing’.

Berdialog dengan cara yang lebih baik: Prinsip ini bersandar kepada ayat Quran dalam bab An-Nalh, ayat 125,’… dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik…’. ‘Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka…’.

Menyebut perkara yang penting berulang kali: Prinsip ini bersandar kepada amalan Muhammad, iaitu apabila beliau mengucapkan satu kata, beliau mengulangi tiga kali sehingga kata itu difahami.

Mengotakan apa yang dikata: Prinsip ini bersandar kepada bab As-Saff, ayat 21, ‘Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan’.

Mengambil kira pandangan dan fikiran orang lain : Prinsip ini bersandar kepada bab Imran, ayat 159, ‘… dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan soal-soal keduniaan …’. Bab Asy-Syura, ayat 3, ‘…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka…’.

Komunikasi Dengan Allah s.w.t

Solat :Solat itu laksana benda yang hidup, yang menuturkan ucapan penghargaan kepada orang yang memeliharanya dengan sempurna dan berdoa kepada Allah SWT agar memelihara orang itu sebagai mana dia memelihara solatnya. Mendirikan solat bukar sekadar hendak melepaskan kewajipan, tanpa memikirkan apakah yang akan terjadi kepada solat yang dilaksanakannya. Solat umpama tunjang kepada ibadat-ibadat yang lain, memerlukan pengawasan dan penjagaan yang sempurna sehingga ia benar-benar menjadi ‘Imad ad-din’ iaitu tiang agama.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya amal yang mula-mula dihitung oleh Allah di akhirat kelak ialah solat. Alllah SWT memerintahkan kepada malaikatnya: Lihatlah dengan teliti solat hamba-Ku, adakah solatnya dilaksanakan dengan sempurna, ataupun dengan keadaan kurang (kurang sempurna).

Berdoa : Mintalah kepada Allah untuk mencapai kedudukan dunia akhirat, membuktikan tiada malumu kepadaNya, dan permintaanmu kepada sesuatu selain dari Allah menunjukkkan jauhmu daripada-Nya. Permintaan seorang hamba kepada Allah terbahagi dalam empat macam, dan kemudian kesemuanya itu tidak tepat bila diteliti lebih jauh dan mendalam.Permintaan sesuatu dari kepentingan- kepentingan duniawi membuktikan tiada malu daripadaNya, sebab sekiranya engkau malu dari Allah tentu tidak merasa ada kepentingan bagimu selain mendekat kepadaNya.

Berzikir : Jangan sesekali kita meninggalkan zikir kerana engkau belum selalu ingat kepada Allah di waktu berzikir, sebab kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir.Semoga Allah menaikkan darjatmu daripada zikir dengan kelalaian, kepada zikir yang disertai ingat (sedar) terhadap Allah, kemudian naik pula dari zikir dengan kesedaran ingat, kepada zikir yang disertai rasa hadir, dan dari zikir yang disertai rasa hadir kepada zikir hingga lupa terhadap segala sesuatu selain Allah. Dan demikian itu bagi Allah tidak sukar (tidak berat)

Berzikirlah kamu kepadaKu nescaya Aku berzikir kepadamu. (Al-Baqarah 152)

Bagi orang yang sempurna akal, ialah mereka yang selalu berzikir pada Allah

sambil berdiri, duduk dan berbaring di atas pinggangnya

Hai sekalian orang yang beriman: Berzikirlah kamu kepada Allah sebanyak-

banyaknya zikir. Dan bertasbihlah (mengagumkan) Allah pada pagi dan petang. . (Ali-Imran 190-191).

Komunikasi dengan diri sendiri (Muhasabah diri)

Komunikasi dengan diri sendiri ini merupakan salah satu cara menilai diri sendiri ataupun disebut muhasabah diri atau refleksi diri antara penilaian yang boleh dibuat ialah :

Amalan : Menilai amalan yang kita lakukan sehari-hari, adakah sudah mencukupi atau tidak

Usaha : Adakah usaha yang dilakukan selama ini memberi kebaikan ataupun sia-sia belaka. Adakah usaha yang dilakukan kerana Allah atau kerana makhluk.

Tindakan : Adakah tindakan yang dilakukan terhadap keputusan dalam keadaan yang waras pemikiran dan diredhai oleh Allah kerana dengan tindakan yang salah akan menyebabkan dosa.

Fikiran : Adakah ia benar-benar berperanan seperti yang diperintahkan oleh Allah Taala, untuk menjadi hamba Allah yang dapat membezakan antara hak dan batil, sehingga ia dapat mengikuti jalan yang lurus kea rah taqwa kepada Allah SWT.

Ibadah : Setiap langkah kita adakah bertujuan untuk mencari keredhaan Allah Taala, umpamanya melangkahkan kaki untuk menuju ke masjid kerana hendak menunaikan solat fardhu berjemaah. Muhasabahlah amal ibadat kita setiap hari banyak atau sedikit. Banyak perkara yang mendatangkan pahala atau mendatangkan banyak dosa.

Perkembangan dalam Komunikasi Islam

Seorang cendekiawan, Syeikh Ali Mahfuds pula mendefinisikan komunikasi Islam sebagai ‘mendorong manusia agar melakukan kebaikan dan mengikuti petunjuk, menyuruhnya membuat kebajikan dan meninggalkan kemungkaran agar mereka memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat’.Agama Islam berusaha menyakinkan manusia mengenai kebenarannya dan melatih mereka menjadi penganutnya. Dalam hal ini, Islam mempunyai ciri-ciri agung untuk menarik seluruh manusia kepadanya dan mendorong mereka ke arah mencapai keadilan, kebenaran, kesucian dan keindahan.

Orang Islam menganggap diri mereka sebagai diperintahkan Allah untuk menyeru semua manusia tunduk kepada- Nya (42:15). Matlamat hidup orang Islam ialah untuk membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam, iaitu agama bagi manusia, agama Allah merangkumi teologi dan syariah, etika dan institusinya ( Isma’il R Al-Farugi dan Lois Lamnya ) dalam buku mereka ‘Atlas Budaya Islam, Dewan bahasa dan Pustaka’ (1992).

Dalam Al-Quran, Allah memerintahkan orang Islam : “Serulah manusia ke jalan Allah dengan bijaksana dan nasihat yang baik. Nyatakan alasan-alasan yang munasabah

(16:125). Komunikasi Islam merupakan pengisian kepada perintah ini. Komunikasi Islam juga melibatkan usaha mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan tentang kesengsaraan di ala mini (22: 67). Tugas memenuhi perintah ini dinyatakan oleh al-quran sebagai puncak kebaikan dan kebahagiaan . “Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah.” (41:33). Rasulullah (s.a.w) juga menganggap bahawa komunikasi juga merupakan usaha paling mulia dan hasilnya, iaitu penganutan kepada Islam sebagai kesan paling agung.

Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas nilai sosial, agama dan kebudayaan, penyelidikan melalui penglibatan. Hasil daripada konsep pendekatan penyelikan melalui penglibatan ini ialah satu aspek komunikasi antara perseorangan, yang mungkin merupakan satu aspek komunikasi yang paling mengarah kepada sosio-agama-budaya , pandangan (Imtiaz Hasnain) dalam buku Rahmah Hashim

‘Komunikasi: Suatu Pendekatan Islam’. DBP (1992).

Pengamalan Komunikasi Islam

Setiap muslim tahu bahawa menunaikan solat pada awal waktu, menuntut ilmu, bekerja keras untuk mencari nafkah yang halal, membantu anak yatim dan fakir miskin, berbaik-baik dengan jiran dan menjaga kebersihan itu dituntut oleh Islam. Tetapi sambutan kita terhadap suruhan Allah itu berbeza, ada yang melakukannya tanpa disuruh, ada yang melakukannya apabila disuruh dan ada yang tidak melakukannya walaupun berkali-kali disuruh. Mengapa terjadi demikian? Satu daripada sebab yang diberikan ialah individu-individu ini mempunyai dorongan yang berbeza, ada yang mempunyai dorongan yang tinggi , ada yang mempunyai dorongan yang rendah dan ada yang tidak mempunyai apa-apa dorongan.

Adalah menjadi tanggungjawab besar kepada setiap orang muslim berkomunikasi dengan para sahabat dan seluruh umat manusia untuk mengajak kepada jalan yang benar, aktiviti ziarah, khutbah di atas mimbar masjid dan menggunakan teknologi komunikasi merupakan bentuk komunikasi dalam islam.

Komunikasi melalui Ziarah : Aktiviti ziarah pada zaman moden ini tidak lagi menjadi wadah dalam jemaah islam untuk mereka berkomunikasi dan menyeru ke jalan Allah. Kadang-kadang ada di antara kita yang tidak mengenali jiran tetangga walaupun tinggal dalam satu kelompok masyarakat. Kegagalan komunikasi dengan cara ini sebenarnya menjadi jurang kepada komunikasi Islam sesama manusia.

Komunikasi Melalui Mimbar Masjid : Khutbah di atas mimbar masjid akhir-akhir ini telah dijadikan sebagai tempat membaca teks tanpa memikirkan mesej untuk jemaah. Jemaah yang keletihan setelah berehat seketika dari bekerja biasanya terlena apabila mendengar khutbah, ini kerana khutbah yang dirangka adalah berdasarkan demografi jemaah yang berbeza namun khutbah yang dibacakan adalah sama di seluruh negeri, maksud dan keterangan yang ingin disampaikan kadang-kala jauh berbeza dengan tahap penerimaan jemaah dan memungkinkan kegagalan dalam kaedah komunikasi islam.

Teknologi Komunikasi untuk Jemaah Islam : Perkembangan teknologi komunikasi di Malaysia bermula dengan pelancaran satelit Malaysia yang pertama iaitu Malaysia East Asian Satelite (MEASAT-1) yang dilancarkan pada 10 Januari 1996 di Ariane Space Kouru. Satelit pertama seberat 14 tan diletakkan pada orbit geosynchronos, 36 000jm di atas garisan khatulistiwa bumi dengan slot orbit 91.50 timur. Satelit ini menggunakan 5 transponder ku-band untuk Dtu-tv menggunakan tiub gelombang bergerak 110 w dan 12 transponder c-band. MEASAT-1 dikawal di SCF Langkawi yang berupaya melancarkan lebih 20 siaran satelit televisyen kepada rakyat Malaysia.

Kemajuan ini meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara di mana komunikasi menjadi platform dalam merekabentuk tujuh aplikasi perdana negara menerusi Multimedia Super Coridor (MSC) yang dilancarkan pada 1 Ogos 1996. MSC yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Multimedia mendorong dan mengkoordinasikan aktiviti komunikasi dunia. Pelancaran satelit ini mempercepatkan lagi perkembangan teknologi komunikasi dan menjadikan dunia semakin kecil. Telefon, faksimili, televisyen, sidang video, Internet dan komputer turut berfungsi melalui teknologi ini menjadikan perhubungan yang lebih pantas.

Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat yang dilihat sebagai satu paradigma di mana paradigma merupakan satu model, andaian, teori, persepsi atau dalam ertikata lain paradigma melihat sesuatu fenomena bukan dari segi penglihatan visual semata-mata, tetapi dari segi persepsi konsepsi, pemahaman dan tanggapan. Selain itu, paradigma membabitkan kognitif, emosi, social dan rohani. Nik Aziz (1997).

Tidak dinafikan, penggunaan ICT seperti jaring internet, mel elektronik, faksimili, rangkaian pangkalan data, system maklumat berpusat, persidangan video, rangkaian penyiaran satelit dan telefon mudah alih kini mampu menyampaikan mesej dakwah ataupun berkomunikasi untuk jemaah. Para pemikir, alim ulama dan bijak pandai islam seharusnya mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi komunikasi.

RUMUSAN

Komunikasi Islam merupakan satu elemen penting dalam menyeru umat atau jemaah ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Komunikasi Islam juga merupakan satu cabang untuk mengajak jemaah menjauhi daripada perbuatan yang mungkar. Setiap perbuatan , percakapan yang dilakukan oleh muslim akan dicatat oleh malaikat kiraman katibi bukan sahaja percakapan yang haram dicatat , percakapan yang harus dan lara juga akan dicatat.

Pada hari manusia dihitung dan ditimbang Al-Mizan dan menerima catatan amalan , maka barulah manusia menyesal dengan perbuatan mereka yang sia-sia , bagi mereka yang banyak perbuatan kebaikan maka akan berbahagia dengan menerima kitab amalan dengan tangan kanan dan penuh kegembiraan . Manakala bagi mereka yang melakukan perbuatan yang sia-sia akan menerima kitab amalan dari punggung dengan penuh kehinaan.

Sesetengahnya komunikasi untuk menyeru manusia ke jalan yang diredhai Allah akan menerima balasan pahala. Sebaliknya jika menggunakan komunikasi untuk mengajak manusia kepada perkara yang lara dan sia-sia akan mendapat dosa..

Umat Islam pada masa kini seharusnya memanfaatkan medium komunikasi untuk menyebarkan ilmu Islam dengan cara yang meluas medium seperti aktiviti ziarah , mimbar masjid dan teknologi komunikasi juga patut digunakan untuk menjadikan Islam sebagai agama yang shumur.

Kemasukan pelbagai budaya yang negatif melalui dunia tanpa sempadan tidak mampu ditangkis jika para pendakwah dan para ulama hanya menggunakan medium tradisional seperti kuliah di surau atau masjid tanpa digabungjalin dengan teknologi komunikasi pada masa kini.

Sudah tiba masanya para pendakwah Islam berkomunikasi melalui internet , televisyen , radio atau menyampaikan kuliah dan maklumat melalui laman web yang boleh mengajak manusia kepada Amal Ma’aruf nahi mungkar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan